Revolusi Industri 4.0 Mengubah Pasaran Pekerjaan

1,024

Menurut pengasas Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab dalam bukunya The Fourth Industrial Revolution menjelaskan Revolusi Industri 4.0 ini ditandai dengan perkembangan teknologi baharu seperti automasi, kecerdasan buatan, Internet of Things (IoT), data raya, pengkomputeran awan, superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pemandu, dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih mengoptimakan fungsi otak.

Dalam erti kata lain, hidup manusia akan dipermudahkan dengan bantuan robot yang bakal menjadi ”rakan kongsi” yang akan melakukan pelbagai tugasan harian manusia.

Mungkin sukar untuk digambarkan logik akalnya apabila melihat pesanan makanan yang kita lakukan melalui pesanan telefon, akan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan dron sampai di depan pintu rumah.

Selain itu, segala urusan di dalam rumah seperti mencuci baju, memberi makanan haiwan kesayangan dan mematikan alat penghawa dingin hanya perlu menekan butang di telefon pintar masing-masing tanpa perlu lagi bersusah payah mengambil perkhidmatan pembantu rumah.

Untuk ke pejabat pula, kita tidak perlu lagi untuk menghidupkan enjin dan memandu di tengah-tengah kesesakan jalan raya.

Semuanya akan selesai dengan hanya menekan butang kekunci, penumpang boleh menyambung tidur dalam kereta masing-masing dan segala urusan pemanduan akan dikawal sepenuhnya melalui satelit sampai ke tempat yang ingin dituju dengan selamat.

Senario tersebut walaupun pelik, namun secara perlahan-lahan telah mula berkembang dan berevolusi menjadi satu bentuk norma yang biasa pada masa akan datang.

Dengan menggunakan akronim Revolusi Industri 4.0 ini, segala urusan harian manusia akan dikongsi bersama robot yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.

Walaupun teknologi-teknologi ini masih dalam peringkat pengujian di peringkat global, banyak aplikasi yang digunakan telah pun kita nikmati. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps yang memberi panduan kepada pemandu tentang maklumat laluan serta perjalanan ke sesuatu destinasi adalah antara bibit-bibit awal kepada pengenalan dunia yang dipanggil Internet of Things (IoT).

Revolusi Industri 4.0 & Institusi Pendidikan

Revolusi Industri 4.0 melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing.

Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Di­ikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Revolusi ini menandakan kemunculan sistem fizikal siber melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia,mesin dan kaedah baharu teknologi.

Dengan kata lain, teknologi automasi itu dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung.

Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.

Jadi, sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia ja­uh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Baru-baru ini, Ketua Pakar Pendidikan Tinggi Bank Dunia, Francisco Marmolejo dalam Seminar Revolusi Industri 4.0 berkata, sistem pendidikan tinggi di seluruh negara juga akan me­ngalami perubahan hasil revolusi Industri 4.0.

“Bayangkan pengetahuan yang ada pada kita hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja menjelang 30 tahun akan datang dan ketika itu pasaran kerja akan dipenuhi dengan individu atau tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.

“Jadi kita memerlukan institut pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan sedia mengharungi cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital itu,” katanya dalam satu seminar anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di ibu negara.

Sumber: www.kosmo.com.my , www.utusan.com.my

Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.