Persiapan Menjadi Jurutera Profesional Bagi Pelajar Jurusan Kejuruteraan

3,656

Bagi mereka yang akan / sedang mengambil jurusan kejuruteraan, Tahniah!

Anda sebenarnya sedang menelusuri perjalanan di mana terdapatnya pelbagai peluang untuk kalian menyumbang kepada negara. Selain itu, dalam usaha anda merealisasikan peluang-peluang tersebut, terdapat sebuah peluang lain yang mungkin akan berjaya anda gapai pada masa yang sama, yakni menjadi seorang Jurutera Profesional (Professional Engineer) – Ir., apabila anda sudah mempunyai pengalaman yang mencukupi berdasarkan peruntukan dalam Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (pindaan 2015).

Fokus perkongsian kali ini ialah kepada para pelajar jurusan kejuruteraan, sama ada kepada bakal pelajar atau pelajar pada masa kini. Saya akan berkongsi bagaimana para pelajar yang akan / sedang mengambil jurusan kejuruteraan di universiti akan dapat memulakan usaha ke arah menjadi seorang Jurutera Profesional pada masa yang akan datang.

  • Pilihan Jurusan Yang Tepat

Apabila kita berbicara berkenaan menjadi seorang Jurutera Profesional, antara elemen yang akan dapat membantu seseorang pelajar jurusan kejuruteraan ke arah tersebut ialah dengan memulakan langkah dengan baik, dan langkah tersebut bermula seawal seseorang pelajar itu memilih jurusan apakah yang akan diambil di universiti. Hal ini adalah kerana jurusan yang dipilih bakal menentukan hala tuju seseorang pelajar apabila bekerja kelak, sama ada dalam bidang industri, akademik mahupun sebagainya.

“Begin with the end in mind”

Apabila berbicara perihal jurusan manakah yang ingin diambil, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.

Yang utama sekali ialah minat.

Pastikan sesuatu bidang itu bukan sekadar diambil kerana mengikut kawan mahupun sekadar diambil kerana mengikut pilihan orang ramai semata-mata. Sekiranya seseorang itu mempunyai minat terhadap sesuatu bidang, maka nasihat saya ialah teruskanlah langkah ke arah merealisasikan minat tersebut. Hal ini adalah kerana minat itu akan dapat menjadi pendorong (driver) seseorang itu untuk terus mencari peluang dari segenap sudut dalam kerangka bidang yang diminati, meskipun bidang tersebut adalah bidang yang mencabar.

Contohnya seperti saya, saya ialah seorang Jurutera Profesional dalam disiplin Mekanikal, dan saya mempunyai minat dalam bidang reka bentuk (design) sistem-sistem M&E untuk bangunan seperti sistem pendingin hawa dan pengudaraan mekanikal (air conditioning and mechanical ventilation system), sistem perlindungan kebakaran (fire protection system) dan sistem hidraulik (hydraulics system) – yang sememangnya merupakan bidang pekerjaan saya dalam industri. Justeru, saya berterusan mencari peluang untuk memantapkan pengetahuan saya dalam perkara-perkara tersebut, sama ada melalui pembacaan sendiri mahupun menghadiri seminar-seminar atau kursus-kursus teknikal sekiranya berkelapangan.

Di samping itu juga, sekiranya terdapat peluang untuk membantu rakan-rakan lain atau terdapatnya permintaan untuk membantu dalam industri, saya juga boleh dan sudi membantu sekiranya wujud keperluan tersebut. Justeru, seperti yang saya sebut sebelum ini, minat anda akan dapat menjadi pendorong anda untuk melakukan lebih (extra) dalam bidang yang anda minati itu.

Seterusnya, seseorang pelajar atau bakal pelajar itu mestilah mempunyai gambaran yang jelas berkenaan bidang yang akan diambil. Hal ini adalah kerana andalah yang perlu menghadapi segala-galanya hasil daripada pilihan yang telah dilakukan. Pastikan anda tahu sekurang-kurangnya apakah skop pekerjaan yang boleh didapati dalam bidang yang telah dipilih.

Misalnya sekiranya anda benar-benar meminati subjek Kimia, maka mungkin akan ada di antara kalian yang akan berfikir bahawa jurusan Kejuruteraan Kimia lah (Chemical Engineering) yang merupakan jurusan yang amat sesuai bagi anda kerana anda menyangka bahawa skop Kejuruteraan Kimia itu akan melibatkan pembelajaran lebih mendalam tentang teori-teori dan bahan-bahan kimia serta proses-proses tindak balas kimia (chemical reactions) yang sememangnya anda sudah minati, lalu seterusnya anda akan melakukan kajian demi kajian bagi menghasilkan produk-produk kimia terbaru untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh umum atau menghasilkan produk yang akan bermanfaat kepada umum apabila anda bekerja kelak.

Sekiranya anda benar-benar meminati perkara tersebut, maka jurusan Kimia lah (Chemistry) yang lebih sesuai untuk anda, dan anda boleh mejadi seorang saintis yang berjaya dalam bidang kimia (Chemist). Hakikatnya, Kejuruteraan Kimia itu bukanlah sekadar berputar perihal subjek dan teori Kimia semata-mata akan tetapi ianya merupakan aplikasi kepada pengetahuan Kimia tersebut, dan digabungkan bersama konsep-konsep lain yang relevan dalam industri kejuruteraan.

Secara amnya, anda akan mempelajari berkenaan konsep-konsep asas (fundamentals) dan aplikasi (application) tentang pengetahuan subjek Kimia, dan seterusnya anda akan mempelajari berkenaan konsep-konsep fizik yang relevan dengan kejuruteraan kimia seperti berkenaan pergerakan bendalir (fluid motion), pemindahan haba (heat transfer) dan termodinamik (thermodynamics), serta berkenaan sistem-sistem yang diguna pakai dalam industri seperti sistem penyulingan (distillation system) dan sistem-sistem utiliti (utility systems) seperti turbin gas mahupun stim (gas & steam turbines).  Anda mungkin akan bekerja kelak di loji proses (process plant) mahupun pusat penapisan minyak (oil refinery), di mana anda akan mengaplikasikan pelbagai pengetahuan yang berkaitan dengan proses-proses yang berlaku di tempat kerja anda demi mejayakan / meneruskan penghasilan produk-produk pada skala yang besar (mass scale production) dan membawa keuntungan kepada syarikat. Anda mungkin akan terlibat dalam reka bentuk (design) mahupun operasi (operations) di tempat kerja anda.

Pengetahuan lain yang mungkin perlu diaplikasikan oleh seseorang Jurutera Kimia dalam menjalankan tugasnya termasuklah pengetahuan berkenaan sistem pam, system perpaipan dan injap-injap (pumping system, piping system & valves), alat penukar haba (heat exchangers) mahupun utiliti-utiliti lain seperti menara penyejukan (cooling towers), sistem penyejuk (chiller system) dan sebagainya. Selain itu juga, faktor keselamatan (safety) juga perlu diambil kira di tempat kerja anda sebagai seorang Jurutera Kimia. Begitulah sedikit sebanyak penerangan berkenaan bidang Kejuruteraan Kimia, serta penerangan tentang bezanya bidang Kejuruteraan Kimia dan bidang Kimia secara amnya.

Mesej yang ingin saya sampaikan di sini ialah seandainya anda belum melakukan kajian yang meluas berkenaan jurusan apakah yang akan diambil, maka saya mencadangkan anda ambillah masa untuk mengkaji berkenaan pilihan (dan minat) anda, kerana anda akan hidup dengan pilihan anda itu. Pastikan anda tidak tersilap pilih.

Sebagai kesimpulan, terdapat DUA perkara yang penting sebelum seseorang itu memilih jurusan apakah yang akan diambil – MINAT dan PENGETAHUAN tentang bidang tersebut.

  • Peluang Melalui Latihan Industri (Internship)

Di Malaysia, rata-rata jurusan kejuruteraan di universiti-universiti mewajibkan para pelajar untuk menjalani latihan industri selama beberapa bulan (3 bulan, 6 bulan, atau sebagainya). Bagi para pelajar kejuruteraan, ini adalah pendedahan yang sangat baik bagi anda di mana anda seharusnya menggunakan peluang ini sebaiknya.

Sebagai seseorang yang menjalani latihan industri (intern), anda akan mendapat gambaran tentang realiti kehidupan selepas anda bekerja, di mana sebelum ini anda hanya merupakan seorang pelajar yang terlalu banyak masa lapang.

Selain itu juga, anda akan dapat mengetahui apakah sebenarnya yang dilakukan sehari-hari oleh seseorang jurutera. Anda akan dapat tahu apakah yang boleh dijangka sekiranya anda kelak memulakan kerjaya anda sebagai seorang jurutera.

Bagi diri saya pula, saya tidak pernah melalui latihan industri kerana latihan industri bukan merupakan sesuatu yang mandatori bagi universiti saya (salah satu universiti di luar negara), dan bila difikirkan kembali, saya hanya benar-benar dapat tahu tentang apakah yang dilakukan oleh seorang jurutera itu hanya selepas mula bekerja. Ya, hanya selepas saya mula bekerja! Di situ sahaja, pelajar-pelajar yang melakukan latihan industri sudah mempunyai kelebihan berbanding mereka yang tiada pengalaman dan pendedahan langsung dalam industri pada zaman mejadi seorang pelajar universiti.

Sekiranya anda melakukan latihan industri di pejabat reka bentuk (design office), anda akan dapat melihat bagaimana seseorang jurutera reka bentuk (design engineer) melakukan kerja-kerja reka bentuk (design work), seperti kerja-kerja pengiraan (design calculations), kerja-kerja merujuk kepada pelbagai piawaian kejuruteraan (engineering standards / codes), kerja-kerja membuat lakaran di atas pelan (plan mark-ups) dan seterusnya melihat bagaimana jurutera tersebut berinteraksi dengan draftsman / modeller untuk menterjemahkan kerja-kerja lakaran tersebut kepada sebuah pelan kejuruteraan (engineering drawing) yang lengkap.

Anda juga akan dapat memerhati bagaimana seseorang jurutera reka bentuk itu berbincang dan memberikan justifikasi kepada pihak Pemilik Projek (Project Client), sehinggalah berjaya mendapatkan kelulusan (approval) agar reka bentuk beliau boleh dibawa ke peringkat seterusnya untuk kerja-kerja pemasangan (installation) atau pembinaan (construction).

Pengalaman di pejabat reka bentuk (design office)

Sekiranya anda melakukan latihan industri di tapak (site), anda akan dapat melihat bagaimana seseorang jurutera tapak (site engineer) menguruskan dan menyelia kerja-kerja di tapak, termasuklah interaksi mereka dengan subkontraktor dan pihak-pihak lain di tapak.

Anda akan dapat melihat jurutera tersebut memastikan bahawa kerja-kerja pemasangan (installation works) adalah menepati dan berdasarkan reka bentuk (design) yang telah diperakui. Selain itu juga, sekiranya kena dengan masanya, anda juga mungkin boleh memerhatikan bagaimana ujian-ujian (tests) dilakukan ke atas peralatan-peralatan yang telah dipasang.

Pengalaman turun ke tapak (site) – Gambar menjujukkan kawasan terowong MRT1

Selain itu, secara amnya juga, anda juga akan dapat melihat bagaimana seseorang jurutera itu berinteraksi dengan pelbagai pihak dalam kerjanya sehari-hari, sama ada berinteraksi sesama staf jabatannya, berinteraksi dengan staf-staf daripada jabatan-jabatan lain, berinteraksi dengan staf daripada syarikat Pemilik Projek, serta berinteraksi dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) yang lain. Anda akan dapat melihat sendiri bagaimana seseorang jurutera itu perlu berkomunikasi dengan pelbagai pihak dalam sesebuah projek – justeru kemahiran berkomunkasi itu adalah sangat penting bagi seseorang jurutera.

Seterusnya, dengan menjalani latihan industri, anda akan dapat membina hubungan dengan staf-staf yang terdapat di syarikat di mana anda menjalani latihan industri, atau dengan staf-staf dari pihak-pihak lain yang mempunyai kaitan dengan projek yang sama.

Rangkaian (networking) yang terjalin ini berpotensi untuk membawa manfaat kepada anda, di mana syarikat tersebut (atau pihak-pihak yang berkaitan tersebut) mungkin akan mempertimbangkan untuk mengambil anda sebagai staf mereka kelak apabila anda bekerja kerana sudah mengenali anda dan dapat melihat cara kerja anda yang sesuai dengan cara kerja mereka – siapa tahu bukan?

Jika tidak sampai ke tahap mendatangkan pekerjaan kepada anda sekalipun, hubungan yang terjalin akan berpotensi untuk memudahkan anda apabila anda bekerja kelak, di mana anda akan mempunyai kenalan dalam industri untuk membantu anda sekiranya perlu. Dan, yang paling penting, pendedahan anda ini akan dapat memberikan anda sedikit lonjakan apabila anda mula bekerja kelak, dan ini boleh menjurus anda ke arah menjadi seorang Jurutera Profesional suatu hari nanti.

  • Mendaftar Sebagai Jurutera Siswazah (Graduate Engineer) sejurus selepas Graduasi

Dalam penulisan saya dan juga di dalam sesi-sesi perkongsian kejuruteraan saya di universiti-universiti sebelum ini, antara perkara terpenting yang saya akan tekankan kepada para pelajar ialah mereka hendaklah mendaftar secepat mungkin dengan Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia – BEM) selepas mereka bergraduasi. Hal ini adalah kerana beberapa sebab:

  • Merujuk kepada Akta Pendaftaran Jurutera 1967, Pindaan 2015 (Registration of Engineers Act 1967, 2015 Amendment), pendaftaran sebagai seorang Jurutera Siswazah dengan BEM adalah sesuatu yang mandatori kepada mana-mana jurutera untuk bekerja dan menawarkan khidmat sebagai seorang jurutera di Malaysia.

 

  • Selain itu juga, pendaftaran sebagai seorang Jurutera Siswazah adalah sesuatu yang mandatori untuk seseorang jurutera kelak untuk memohon menjadi seorang Jurutera Profesional, di mana pengalaman minima yang diperlukan adalah selama sekurang-kurangnya 3 tahun setelah mendaftar sebagai seorang Jurutera Siswazah. Harus diingatkan di sini bahawa sekiranya anda lambat mendaftar, pengalaman bekerja yang telah anda kumpulkan sebelum berdaftar sebagai seorang Jurutera Siswazah itu TIDAK akan dikira sekiranya anda ingin memohon untuk menjadi seorang Jurutera Profesional kelak. Rugilah anda sekiranya anda terpaksa melalui situasi sedemikian.

Justeru, adalah sangat-sangat penting bagi seseorang pelajar jurusan kejuruteraan itu (anda) untuk terus mendaftar dengan BEM sebaik sahaja anda sudah menggenggam sijil ijazah kejuruteraan anda.

  • Kenali Jurutera-Jurutera Profesional Dalam Industri

Seperti yang telah disebut di atas, pembinaan jaringan dalam industri merupakan sesuatu yang penting dan akan dapat memudahkan anda sekiranya mula menapaki pekerjaan dalam industri kelak sebagai seorang jurutera. Salah satu golongan yang wajar seseorang jurutera baru itu dekati ialah golongan Jurutera-jurutera Profesional dalam industri.

Sekiranya anda dapat berkenalan dan membina hubungan yang baik dengan para Jurutera Profesional dalam industri, ini akan dapat sangat membantu anda yang baru hendak memulakan langkah dalam industri. Setakat yang saya kenali, rata-rata Jurutera Profesional dalam industri sangatlah sudi untuk membantu jurutera-jurutera muda untuk mengembangkan kerjaya mereka dalam industri.

Gambar bersama bos saya dahulu (kini beliau juga merupakan seorang Jurutera Profesional – Ir. Kanaga)

Anda akan memperoleh bantuan mereka dalam usaha anda ke arah merealisikan hasrat anda untuk menjadi seorang Jurutera Profesional kelak – daripada mendapatkan sokongan (endorsement) mereka untuk pendaftaran anda menjadi seorang Jurutera Siswazah (Graduate Engineer), memperoleh tips-tips untuk menduduki Temuduga Profesional (Professional Interview), dan lebih baik lagi, memperoleh sokongan mereka untuk menduduki Temuduga Profesional kelak.

Antara isu yang acap kali dihadapi oleh para jurutera di luar sana yang mempunyai keinginan untuk menjadi seorang Jurutera Profesional ialah mereka tidak mengenali mana-mana Jurutera Profesional yang sama disiplin untuk membantu mereka dalam permohonan mereka untuk menjadi seorang Jurutera Profesional. Justeru, sekiranya dari mula lagi anda sudah dapat membina hubungan dengan Jurutera Profesional dalam industri, ini akan sangat membantu anda apabila anda hendak memohon untuk menjadi soerang Jurutera Profesional.

Di samping itu juga, anda juga boleh belajar daripada mereka tentang apakah peluang-peluang yang terdapat pada masa kini dalam industri, serta anda boleh mendapat tips dan pedoman untuk mengelakkan kesilapan dan kesalahan yang terjadi dalam industri.

  • Kenali Organisasi-organisasi Kejuruteraan di Malaysia (BEM, IEM dan sebagainya)

 

Salah satu perkara yang boleh diperkasakan lagi di universiti-universiti ialah pendedahan kepada pelbagai organisasi-organisasi yang relevan dengan bidang kejuruteraan.

Salah satu perkongsian kejuruteraan saya di universiti di bawah bendera IEM – Heriot-Watt University Putrajaya

 

Dua organisasi asas yang seharusnya dikenali oleh para pelajar kejuruteraan di Malaysia termasuklah BEM dan IEM, dan masih lagi terdapat mereka yang keliru antara peranan kedua-dua organisasi ini.

Untuk menerangkan dengan lebih lanjut, analogi sekolah memandu boleh diguna pakai. Dalam proses anda untuk mendapatkan lesen kenderaan, pihak yang akan memberikan lesen sekiranya anda lulus dalam ujian memandu ialah pihak JPJ, sementara anda akan belajar berkenaan teori dan praktikal memandu kenderaan di sekolah memandu.

BEM ialah “JPJ” bagi kes ini di mana BEM merupakan badan yang memantau dan menguatkasakan Akta dan Peraturan berkenaan para jurutera di Malaysia. Sementara itu, IEM pula ialah “Sekolah Memandu” bagi kes ini, di mana IEM merupakan organisasi yang membantu untuk mempromosi dan memperkasakan profesion kerjuruteraan di Malaysia – termasuklah menganjurkan pelbagai inisiatif bagi membantu para jurutera untuk meningkatkan pengetahuan dan daya saing (melalui siri-siri penganjuran perkongsian kejuruteraan, kursus-kursus teknikal, sesi-sesi pembinaan rangkaian, dan sebagainya).

Di samping itu juga, adalah lebih baik sekiranya para pelajar dapat mengetahui dan mengenali organasi-organisasi lain yang relevan dalam bidang kejuruteraan masing-masing. Misalnya untuk Kejuruteraan Mekanikal, terdapatnya organisasi American Society for Heating, Refrigeration and Air-Conditioning Engineers (ASHRAE), the Institution of Fire Engineers UK (IFE), Air Movement and Control Association (AMCA), Institution of Mechanical Engineers (IMechE) dan sebagainya.

Seterusnya, apabila anda sudah mengenali organisasi-organisasi kejuruteraan yang terdapat dalam industri, anda boleh mula menceburkan diri dalam organisasi tersebut, sama ada sebagai ahli untuk menyedut segala ilmu daripada profesional-profesional dalam organisasi tersebut mahupun sebagai penggerak kepada organisasi kejuruteraan tersebut.

Misalnya, sebagai Ahli Siswazah IEM suatu ketika dahulu, saya telah dapat menghadiri kursus-kursus teknikal yang relevan dengan kerja saya sehari-hari dengan harga diskaun ahli IEM, di samping dapat duduk Bersama dengan jurutera-jurutera lain.

Meskipun syarikat saya yang membayar kos bagi kursus-kursus tersebut, tetapi apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah antara manfaat apabila anda menjadi ahli sesuatu organisasi kejuruteraan. Sekarang, sebagai Ahli Korporat IEM setelah lulus Temuduga Profesional IEM, saya kini cuba untuk memberikan sumbangan dalam kapisiti saya sebagai seorang Jurutera Profesional melalui penglibatan saya sebagai ahli untuk IEM Membership Drive and Promotions Sub-Committee. InsyaAllah saya tidak akan berhenti di situ, di mana cita-cita saya ialah untuk menyumbang kepada IEM dengan menjadi salah seorang panel penemu duga Temuduga Profesional IEM kelak.

Salah satu daripada aktiviti kelolaan Project Management Technical Division IEM, lawatan ke tapak projek Parlimen

Justeru itu, adalah digalakkan untuk para pelajar jurusan kejuruteraan untuk mengenali dan seterusnya melibatkan diri dalam organisasi-organisasi kejuruteraan, kerana anda akan mendapat menfaat-manfaat seperti dapat memperkasakan pengetahuan anda berkenaan bidang kejuruteraan itu sendiri dan dapat peluang untuk membina rangkaian bersama profesional-profesional lain, di mana manfaat-manfaat ini mungkin akan dapat membantu anda dalam usaha anda untuk bergelar seorang Jurutera Profesional. Di samping itu juga, anda juga boleh memberikan sumbangan kepada komuniti kejuruteraan melalui penglibatan anda dalam organisasi-organisasi kerjuruteraan.

  • Libatkan diri dalam Kegiatan Berpersatuan di Universiti

Salah satu perkara di universiti yang akan dapat membantu anda menghadapi kehidupan bekerja dalam industri kelak ialah melalui kegiatan berpersatuan di universiti. Apabila anda aktif terlibat dalam persatuan di universiti, lebih-lebih lagi sebagai ahli jawatankuasa, anda akan bertanggungjawab untuk menggerakkan persatuan anda. Justeru, anda akan mendapat pendedahan untuk melakukan perancangan (planning) sepanjang sesi kepimpinan anda, di samping pendedahan untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk melaksanakan dan menjayakan aktiviti-aktiviti persatuan anda.

Selain itu juga, apabila anda diletakkan sebagai individu yang bertanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu acara (event), anda akan didedahkan dengan sisi-sisi pengurusan acara (event management), di mana penganjuran dan pelaksanaan acara anda itu boleh diibaratkan sebagai sesebuah projek, dan anda harus melakukan kerja-kerja pengurusan projek (project management) untuk menjayakan projek tersebut. Anda sebagai Pengurus Projek (Project Manager) perlulah terlibat dalam menguruskan pelbagai elemen projek anda seperti pengurusan sumber manusia (resource management), pengurusan kos (cost management), pengurusan jadual (schedule management), pengurusan risiko (risk management) dan sebagainya. Dari situ sahaja anda sudah boleh belajar bagaimana untuk menguruskan sebuah projek, dan anda akan boleh mengaplikasikan pengalaman itu di dunia pekerjaan anda kelak.

Justeru, penglibatan anda dalam kegiatan berpersatuan di universiti akan dapat memberikan nilai tambah (added value) kepada anda, di mana anda boleh kemudiannya berkongsi pengalaman pengurusan projek anda itu di dalam CV mahupun temuduga anda dan seterusnya mengaplikasikannya apabila bekerja kelak, dalam usaha anda untuk menjadi seorang Jurutera Profesional.

Gambar pada majlis pelancaran MRT1 pada 17 Julai 2017 bersama rakan-rakan jurutera dari MMC Gamuda. Projek Mega yang telah Berjaya diselesaikan


Penutup

 

Berdasarkan pengalaman diri sendiri, proses ke arah menjadi seorang Jurutera Profesional itu tidaklah terlalu sukar tetapi tidak juga boleh diambil mudah. Dan, permulaan yang baik bagi seseorang pelajar atau bakal pelajar yang hendak mengambil jurusan kejuruteraan itu akan sangat membantu kelak. Justeru, semoga tips di atas akan dapat membantu para pelajar atau bakal pelajar yang mempunyai aspirasi untuk menjadi seorang Jurutera Profesional suatu hari nanti, insyaAllah.

Disediakan oleh:

Ir. Mohd Kamal Haziq bin Kamaruzaman.

P.Eng M.I.E.M. AAE AIFireE

 

Nota: Ir. Kamal Haziq telah berjaya menjadi seorang Jurutera Profesional dalam disiplin Kejuruteraan Mekanikal pada usia sebelum 29 tahun. Beliau telah mewakili Institusi Jurutera Malaysia (The Institution of Engineers, Malaysia – IEM) dalam memberikan beberapa siri perkongsian berkenaan “Route to Professional Engineer” di beberapa universiti swasta di sekitar kawasan Greater Kuala Lumpur. Beliau telah terlibat dalam beberapa projek mega di Kuala Lumpur, dan ini termasuklah projek MRT 1 Jajaran Sungai Buloh – Kajang, projek MRT 2 Jajaran Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya dan projek Tun Razak Exchange (TRX). Beliau kini berkhidmat sebagai seorang Pengurus Reka Bentuk MEP (MEP Design Manager) di bawah sebuah kumpulan syarikat multinasional yang beribu pejabat di Sydney, Australia, di mana beliau bekerja di cawangan syarikat tersebut di Kuala Lumpur.

 

Sekiranya anda mempunyai pertanyaan, sila berhubung dengan beliau melalui:

  • Facebook: Kamal Haziq
  • Linkedin: Ir. Mohd Kamal Haziq Kamaruzaman P.Eng M.I.E.M. AAE AIFireE

 

Tulisan ini adalah perkongsian peribadi saudara Ir. Kamal Haziq, dan tidak melambangkan tulisan rasmi daripada pihak Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia – BEM) mahupun Institusi Jurutera Malaysia (The Institution of Engineers, Malaysia – IEM).

Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.