Panduan Menjadi Jurutera Profesional Pada Usia Muda

16,435

Boleh kata ramai juga rakan / jurutera lain yang telah bertanya kepada saya tentang bagaimana hendak menjadi Jurutera Profesional / Professional Engineer (Ir.). Justeru, saya telah membuat keputusan untuk berkongsi berkenaan dengan proses-proses yang terlibat kepada umum. Semoga perkongsian ini akan dapat menjawab persoalan-persoalan tertentu yang bermain di fikiran.

 

Pembentangan saya kepada para pelajar UNITEN berkenaan topik “Route to Professional Engineer & Sustainability”

 

Terdapat 3 kaedah untuk seseorang Jurutera Siswazah / Graduate Engineer yang sudah berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia / Board of Engineers Malaysia (BEM) untuk menjadi seorang Jurutera Profesional. 3 kaedah tersebut adalah seperti berikut:

  • Melalui Professional Assessment Examination kelolaan BEM (PAE)
  • Melalui Enhanced Professional Interview kelolaan IEM (Enhanced PI)
  • Melalui Badan Kawal Selia Kejuruteraan Luar Negara / Overseas Regulatory Body

 

Sijil P.Eng (Ir.) BEM dan Ahli Korporat IEM (MIEM)

 

Sebelum saya pergi lebih jauh kepada perincian mengenai kaedah-kaedah tersebut, terdapat keperluan fundamental yang wajib dipenuhi oleh seseorang Jurutera Siswazah itu untuk kemudiannya memohon untuk menjadi seorang Jurutera Profesional (Ir.). Keperluan ini dinyatakan dalam Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Pindaan 2015) dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Jurutera 1990 (Pindaan 2015).

 

Intipati daripada Seksyen 10(2)(a) Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Pindaan 2015):

 

Subject to this Act, the following persons shall be entitled on application to be registered as Professional Engineers:

 

(a) any person –

 

(i) who is registered as a Graduate Engineer and has obtained the practical experience under paragraph (1)(b);

 

(ii) who – 

 

(A) has passed a professional assessment examination conducted by the Board;

(B) holds a professional qualification which the Board considers to be equivalent to the professional assessment examination conducted by the Board;

 

(C) who is a Corporate Member of the Institution of Engineers (Malaysia); and

 

(iii) who has complied with the requirements as determined by the Board;

 

Sehubungan dengan itu, intipati daripada Peraturan 22(1)(a) Peraturan-peraturan Pendaftaran Jurutera 1990 (Pindaan 2015):

 

The Graduate Engineer must undergo:

 

(i) At least 2 years of general training that will provide a sound basis for professional development;

 

And

 

(ii) At least 1 year of professional career development and training providing wide exposure to the various managerial and technical expertise in engineering practice,

 

Where at least 1 year of the training must be obtained in Malaysia under the supervision of a Professional Engineer in the same branch of engineering as that practised by the Graduate Engineer, although Professional Engineers in other related branches of engineering may be accepted with the prior approval of BEM.

 

Justeru,

 

  • Anda mestilah telah mempunyai pengalaman bekerja selama sekurang-kurangnya 3 tahun SELEPAS berdaftar sebagai seorang Jututera Siswazah dengan BEM. Kepada mereka yang masih belum berdaftar sebagai Jurutera Siswazah, pengalaman bekerja sebelum anda berdaftar sebagai Jurutera Siswazah TIDAK akan dikira sekiranya anda memohon untuk menjadi Jurutera Profesional kelak.

 

  • Anda seharusnya bekerja di bawah seliaan seorang Jurutera Profesional yang merupakan jurutera dalam disiplin kejututeraan yang sama dengan anda (melainkan adanya Jurutera Profesional daripada disiplin lain yang berkaitan yang mendapat kelulusan daripada BEM).

 

  • Seterusnya, anda boleh memohon untuk menjadi seorang Jurutera Profesional.
Kunjungan ke chiller plant salah di salah satu menara di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur

——-

Saya akan menyentuh kaedah-kaedah yang secara amnya relevan kepada jurutera-jurutera tempatan di Malaysia, iaitu Kaedah 1 melalui Professional Assessment Examination kelolaan BEM (PAE) dan Kaedah 2 melalui Enhanced Professional Interview kelolaan IEM (Enhanced PI).

 

Secara umumnya, proses untuk seseorang jurutera di Malaysia untuk menjadi seorang Jurutera Profesional boleh diringkaskan seperti berikut:

 

  • Daftarkan diri sebagai Jurutera Siswazah Bersama BEM. Jangan tangguh-tangguh! Anda akan menyesal di kemudian hari.

 

  • Kumpulkan pengalaman bekerja selama sekurang-kurangnya 3 tahun, di mana pengalaman tersebut hendaklah termasuk pengalaman dalam kerja-kerja mereka bentuk (design) dan kerja-kerja di tapak (site).

 

  • Hantarkan borang pendaftaran dan dokumen-dokumen lain yang diperlukan untuk PAE BEM / Enhanced PI IEM.

 

  • (Untuk Enhanced PI IEM sahaja). Nama anda akan tersenarai di dalam Buletin Bulanan IEM (Majalah Jurutera) selama 1 bulan untuk tatapan umum. Ini adalah untuk memerhatikan sama ada terdapatnya bantahan oleh mana-mana pihak ataupun tiada bantahan terhadap permohonan anda untuk menduduki Enhanced PI.

 

  • Setelah tiada bantahan selama mana nama anda dipaparkan di dalam Majalah Jurutera IEM (tidak terpakai bagi mereka yang akan menduduki PAE BEM), Penemuduga Utama (Principal Interviewer) akan menghubungi anda untuk memberikan maklumat yang terperinci berkenaan temuduga anda.

 

  • Hadiri temuduga PAE / PI. Terdapat 2 orang penemuduga yang akan menguji anda. Sememangnya menguji anda…kaw kaw. Bersedialah! Anda akan diuji dengan temuduga lisan dan anda akan diuji untuk menjawab esei-esei (1 esei teknikal berdasarkan pengalaman anda, 1 esei berkenaan etika kejuruteraan).

 

  • Selesai temuduga. Tunggu dalam 2 atau 3 bulan setelah PAE / PI untuk mendapat keputusan. Dan tahniah, anda telah melepasi PAE / PI! Pada tahap ini, anda akan tahu bahawa anda telah memperoleh kejayaan yang besar ?

 

  • Akhirnya, dapatkan gelaran P.Eng / Ir. daripada BEM. Selesai sudah proses dan anda kini ialah seorang Jurutera Profesional!
  • Sekiranya anda lulus melalui kaedah PAE, hantar borang A4 (permohonan untuk menjadi Jurutera Profesional) bersama-sama sebuah salinan keputusan PAE anda dan sebuah surat dengan Kepala Surat Rasmi syarikat anda berkenaan ringkasan pengalaman kerja / praktikal anda selama sekurang-kurangnya 3 tahun kepada BEM.
  • Sekiranya anda lulus melalui kaedah PI, anda kini sudah menjadi seorang Ahli Korporat IEM (IEM Corporate Member – MIEM). Hantar borang A4 bersama-sama sebuah salinan sijil MIEM anda dan sebuah surat dengan Kepala Surat Rasmi syarikat anda berkenaan ringkasan pengalaman kerja / praktikal anda selama sekurang-kurangnya 3 tahun kepada BEM.
  • Untuk perkara-perkara di atas, tunggu selama sebulan atau lebih untuk BEM melengkapkan proses pendaftaran anda sebagai Jurutera Profesional. Berdasarkan pengalaman peribadi, BEM mengambil masa kurang daripada 2 bulan untuk selesai.

 

Sesi Factory Acceptance Test bagi cooling tower yang digunakan bagi salah satu Stesen Bawah Tanah MRT Jajaran Sungai Buloh – Kajang
Salah satu tunnel ventilation fan yang digunakan bagi salah satu Stesen Bawah Tanah MRT Jajaran Sungai Buloh – Kajang

 

Saya akan memberikan perincian berkenaan PAE dan PI dalam tulisan saya di bawah. Sebelum itu, pendapat peribadi saya berkenaan kedua-dua kaedah:

 

  • PAE BEM: Lebih fleksibel, tidak terikat dengan format yang terlalu ketat bagi penghantaran laporan-laporan mahupun borang-borang.

 

  • Enhanced PI IEM: Permohonan yang lebih “dipandu” (“guided”), di mana kriteria-kriteria yang akan diuji sudah ditetapkan. Selain itu, anda juga akan mendapat kelebihan menjadi Ahli Korporat IEM (MIEM).

 

  1. A) Professional Assessment Examination kelolaan BEM (PAE)

 

Setelah anda memperoleh pengalaman kerja yang mencukupi seperti yang telah disebut sebelum ini, seseorang Jurutera Siswazah boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi calon untuk menduduki PAE.

 

Dari segi pengalaman bekerja, untuk memohon untuk menduduki PAE, seseorang jurutera itu mestilah mempunyai:

 

  • Sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman bekerja SETELAH berdaftar sebagai seorang Jurutera Siswazah dengan BEM. Pengalaman bekerja ini mestilah disahkan oleh seorang Jurutera Profesional daripada disiplin kejuruteraan yang sama yang menyelia kerja anda.

 

  • Bagi bidang Kejuruteraan Awam (Civil), pengalaman mereka bentuk (design) selama sekurang-kurangnya 12 bulan dan pengalaman kerja di tapak (site) selama sekurang-kurangnya 12 bulan adalah diperlukan.

 

Seseorang calon PAE mestilah menghantar dokumen-dokumen berikut semasa memohon untuk menduduki PAE:

 

  • 2 salinan laporan Latihan dan Pengalaman (Training and Experience Report), di mana laporan tersebut hendaklah memberikan penerangan berkenaan latihan dan pengalaman yang telah dilalui oleh calon tersebut.

 

  • 1 salinan dokumen lain dan / atau lukisan-lukisan (drawings), di mana dokumen-dokumen ini hendaklah merangkumi hasil kerja yang telah dilakukan sendiri oleh calon seperti reka bentuk dan pengiraan (design and calculations) / kajian kemungkinan (feasibility study) / pemasangan (installation) / operasi dan penyelenggaraan (operation and maintenance) / kajian (research). Dokumen ini mesti dihantar Bersama borang PAE/02 yang telah diisi.

 

  • Borang PAE yang telah diisi.

 

  • Semua lukisan dan dokumen mestilah disahkan oleh Jurutera Profesional daripada disiplin kejuruteraan yang sama, di mana jurutera tersebut mestilah berada dalam kedudukan yang bertanggungjawab, sama ada sebagai majikan atau sebagai individu yang bertanggungjawab (Principal) bagi pihak di mana dokumen-dokumen tersebut telah disediakan.

 

Setelah kesemua di atas sudah selesai dan diterima oleh BEM, mereka akan memanggil anda untuk PAE. PAE terdiri daripada elemen-elemen berikut:

 

  • Temuduga lisan. Anda akan diuji dan disoal oleh 2 orang penemuduga.

 

  • Anda akan diberikan soalan-soalan esei-esei untuk dijawab. Terdapat 2 esei, di mana setiap esei mesti dijawab dalam masa 1.5 jam.
  • Esei Seksyen A akan berkaitan dengan latihan dan pengalaman anda yang telah dinyatakan dalam laporan anda (2 soalan, pilih 1).
  • Esei Seksyen B akan berkaitan dengan etika atau kelakuan professional sebagai seorang jurutera – Code of Professional Conduct (2 soalan, pilih 1). Senarai soalan yang berkemungkinan ditanya untuk Seksyen B terdapat di laman sesawang BEM.

 

Untuk lebih informasi, anda boleh merujuk kepada pautan ini:

http://www.bem.org.my/documents/20181/77997/PAE+2018.pdf

 

 

Memberikan latihan kepada bakal Operator MRT Jajaran Sungai Buloh – Kajang

 

  1. B) Enhanced Professional Interview kelolaan IEM – Bermula 2018 (Enhanced PI)

 

Dari segi pengalaman bekerja, bagi memohon untuk menduduki Enhanced PI, seseorang jurutera itu mestilah mempunyai:

 

  • Pengalaman bekerja 3 tahun selepas graduasi, dalam bidang kejuruteraan yang diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan atau Engineering Accreditation Council (EAC).

 

  • Calon sepatutnya sudah berdaftar bersama BEM sebagai Jurutera Siswazah.

 

  • Pengalaman kerja yang diperlukan untuk bidang-bidang kejuruteraan:
  • Awam (Civil) = 12 bulan mereka bentuk (design) & 12 bulan kerja di tapak (site)
  • Mekanikal = 6 bulan mereka bentuk (design) & 12 bulan kerja di tapak (site)
  • Elektrikal = 12 bulan mereka bentuk (design) & 6 bulan kerja di tapak (site)
  • Elektronik = 6 bulan mereka bentuk (design) & 12 bulan kerja di tapak (site)
  • Kimia = 6 bulan mereka bentuk (design) & 6 bulan kerja di tapak (site)
  • Lain-lain = 6 bulan mereka bentuk (design) & 6 bulan kerja di tapak (site)

 

Untuk merekod dan mengesahkan pengalaman kerja anda, ianya boleh dilakukan melalui kaedah berikut:

 

  • Sekiranya anda mempunyai seorang Jurutera Profesional dalam disiplin kejuruteraan yang sama di tempat kerja anda, anda boleh teruskan untuk menghantar borang-borang permohonan untuk menduduki Enhanced PI apabila anda sudah memperoleh pengalaman kerja yang mencukupi, sekiranya Jurutera Profesional tersebut bersetuju untuk menyokong dan mengesahkan pengalaman anda.

 

  • Sekiranya anda tidak mempunyai seorang Jurutera Profesional dalam disiplin kejuruteraan yang sama di tempat kerja anda, anda boleh merekodkan pengalaman kerja anda melalui Buku Log IEM di bawah IEM Log Book Training Scheme (kini diberikan penjenamaan semula kepada Engineering Competency Development (ECD)). Anda boleh memohon senarai Mentor-Mentor daripada IEM untuk membantu anda dengan Buku Log IEM tersebut.

 

Seterusnya, untuk Penyokong-Penyokong kepada permohonan Enhanced PI anda, mereka mestilah terdiri daripada yang berikut:

 

  • Jurutera Profesional yang berdaftar dengan BEM.

 

  • Ahli Korporat IEM.

 

  • Jurutera yang berdaftar dengan Engineering Council UK atau yang setaraf.

 

  • Mentor di bawah IEM Log Book Training Scheme.

 

  • Salah seorang daripada Penyokong tersebut mestilah daripada disiplin kejuruteraan yang sama dengan anda, dan daripada organisasi yang sama.

 

  • Penyokong-penyokong tersebut seharusnya bekerja di tahap yang lebih kanan (senior) daripada anda, lebih baik jika sekurang-kurangnya 2 tahun di atas anda, dan mempunyai pengetahuan secara terus berkenaan kerja, peranan dan tanggungjawab anda. Sekiranya tiada, pengurus sekarang atau majikan di hierarki organisasi yang lebih tinggi boleh menjadi Penyokong, asalkan beliau merupakan Ahli Korporat IEM atau setaraf.

 

Calon-calon untuk menduduki Enhanced PI mesti menghantar dokumen-dokumen berikut untuk memohon untuk menduduki Enhanced PI:

 

  • 2 salinan laporan Latihan dan Pengalaman (Training and Experience Report) yang diisikan melalui borang IEM PI A401, yang seharusnya memberikan penerangan berkenaan latihan dan pengalaman yang telah dilalui oleh calon. Laporan Latihan dan Pengalaman ini seharusnya merangkumi 18 Competency Elements and Standards yang telah diletakkan di bawah 5 Comptency Categories seperti yang telah dinayatakan dalam IEM PI 0100 Competence Standards for the Professional Interview, di mana elemen-elemen kompetensi bagi UK Chartered Engineer (C.Eng) telah dirujuk bagi menetapkan kriteria-kriteria ini. 5 kategori kompetensi yang disebut itu termasuklah:
  • Penggunaan pengetahuan kejuruteraan umum dan pakar berserta kefahaman untuk mengoptimumkan aplikasi teknologi yang sudah sedia ada dan teknologi baru.
  • Mengaplikasikan kaedah-kaedah teori dan praktikal kepada analisis dan solusi permasalahan kejuruteraan.
  • Melaksanakan pengurusan teknikal dan komersial.
  • Menunjukkan kemahiran interpersonal yang efektif.
  • Menunjukkan komitmen peribadi kepada pengamalan standard professional, serta mengiktiraf tanggungjawab kepada masyarakat, profesyen dan alam sekitar.

 

  • 2 salinan laporan Technical (Technical Report) dan / atau lukisan (drawings), yang seharusnya merangkumi hasil kerja yang telah dilakukan sendiri oleh calon seperti reka bentuk (Design Work) / kajian kemungkinan (feasibility study) / operasi dan penyelenggaraan (Operation and Maintenance Work) / kajian (Research and Development Work).

 

  • 2 salinan borang IEM PI A100 yang telah diisi – Borang Permohonan Temuduga Profesional (Professional Interview Application Form).

 

  • 2 salinan borang IEM PI A300 yang telah diisi – Borang Permohonan Ahli Korporat IEM (MIEM Application Form).

 

Setelah permohonan anda telah dilakukan dan telah diterima oleh IEM, mereka akan menyenaraikan nama anda dalam Buletin IEM (Majalah Jurutera) selama sebulan. Ini adalah untuk memerhatikan sama ada terdapatnya bantahan oleh mana-mana pihak ataupun tiada bantahan terhadap permohonan anda untuk menduduki Enhanced PI.

 

Setelah selesai, IEM / Penemuduga Utama (Principal Interviewer) akan memanggil anda untuk menghadiri PI. PI terdiri daripada elemen-elemen berikut:

 

  • Temuduga secara lisan. Anda akan ditemuduga oleh 2 orang penemuduga. Format temuduga lisan bagi Enhanced PI ini adalah secara amnya seperti berikut:
  • Pembentangan selama 15 minit oleh calon (melalui Powerpoint, kertas atau tiada bantuan pembentangan). Calon dikehendaki untuk membawa 3 salinan bahan pembentangan.
  • Sesi soal jawab selama lebih kurang 60 minit.
  • Peluang untuk Bukti Terakhir (Opportunity for Final Evidence). Peluang ini adalah untuk membangkitkan mana-mana poin yang mungkin belum dibangkitkan, untuk membantu mengukuhkan apa-apa kes yang telah dibangkitkan, mahupun untuk bertanya apa-apa soalan kepada para penemuduga.
  • Calon seharusnya membawa juga borang IEM PI C300 Development Action Plan yang sudah diisi untuk menunjukkan komitmen untuk mengekalkan kompetensi profesional calon.

 

  • Anda akan diberikan soalan-soalan esei-esei untuk dijawab. Terdapat 2 esei, di mana setiap esei mesti dijawab dalam masa 1.5 jam.
  • Esei Seksyen A akan berkaitan dengan latihan dan pengalaman anda yang telah dinyatakan dalam laporan anda (2 soalan, pilih 1).
  • Esei Seksyen B akan berkaitan dengan etika atau kelakuan professional sebagai seorang jurutera – IEM Regulations on Professional Conduct (2 soalan, pilih 1). Senarai soalan yang berkemungkinan ditanya untuk Seksyen B akan diberikan kepada calon sebelum PI oleh IEM.

 

Untuk lebih informasi, anda boleh merujuk kepada pautan ini:

http://www.myiem.org.my/content/member-642.aspx

 

Kunjungan ke Shanghai, China bagi melaksanakan Factory Acceptance Test bagi water-cooled chiller yang digunakan bagi MRT Jajaran Sungai Buloh – Kajang

 

Sebagai tambahan, saya akan selitkan tips tambahan kepada mereka yang berminat untuk berjuang untuk menjadi Jurutera Profesional:

 

  • Pastikan anda menyimpan rekod berkenaan kerja-kerja yang dilakukan sehari-hari selama mana anda bekerja. Tidak perlu dalam format yang formal – boleh jadi dalam notepad, word, dan sebagainya. Ini akan membantu anda semasa melakukan laporan Latihan dan Pengalaman anda kelak.

 

  • Pastikan anda simpan segala dokumen, laporan, lukisan-lukisan yang telah anda hasilkan sepanjang tempoh anda bekerja. Ini akan membantu anda semasa melakukan laporan Teknikal anda kelak.

 

  • Saya sarankan anda mula mencari Jurutera Profesional yang sama bidang dengan anda untuk membantu anda dalam menyelia kerja-kerja anda. Sekiranya sukar, saya sarankan untuk ke IEM, dan IEM akan mempunyai senarai Jurutera Profesional yang boleh menjadi Mentor anda.

 

  • Pastikan apa-apa yang anda tulis dan sertakan dalam laporan pengalaman atau teknikal anda adalah perkara-perkara yang anda memang tahu dan kuasai sebagai seorang jurutera. Jangan sekadar letak perkara-perkara yang anda kurang mahir semata-mata kerana anda hendak memanjangkan laporan-laporan anda. Saya boleh jamin para Penemuduga Profesional anda akan menguji anda ke tahap yang sangat terperinci berkenaan pengalaman mahupun pengetahuan teknikal anda. Jadi, pastikan anda hanya tulis apa yang anda benar-benar tahu! Jangan goreng lebih-lebih! Dalam pada itu, jangan pula terlalu ringkas sehingga tidak mencukupi untuk para Penemuduga anda tidak mendapat gambaran yang sebenar tentang pengalaman atau pengetahuan anda. Laporan Pengalaman saya adalah sepanjang 13 muka surat (tidak termasuk muka hadapan), manakala Laporan Teknikal saya adalah sepanjang 33 muka surat (tidak termasuk muka hadapan), termasuk 6 helai lukisan sebagai lampiran kepada Laporan Teknikal. Kesemua dokumen ini telah disahkan oleh Penyokong saya, yang merupakan Jurutera Profesional daripada disiplin yang sama yang pernah bekerja dengan saya dahulu. Selain itu, saya juga telah diminta oleh Penemuduga Utama untuk menulis sebuah lagi laporan tambahan berkenaan pengiraan yang telah saya lakukan, dan laporan tersebut adalah sepanjang 13 muka surat (tidak termasuk lampiran).

 

  • Anda perlu memastikan bahawa anda mendapat pendedahan kepada kerja-kerja reka bentuk (design) dan kerja-kerja tapak (site). Ini adalah kerana kedua-dua elemen ini adalah penting dalam melayakkan anda untuk melayakkan diri anda untuk dipanggil ke temuduga PAE dan Enhanced PI. Berbincanglah dengan pengurus atau bos anda tentang keperluan ini.

 

Selepas penyampaian “Route to Professional Engineer” di University of Heriot-Watt Malaysia

 

 

Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. [Al-Jaathiyah, 45 : Ayat 13]

 

 

Terima Kasih dan Selamat Berjaya!

 

 

Oleh:

Ir. Mohd Kamal Haziq bin Kamaruzaman, P.Eng. MIEM, AAE, AIFireE

 

 

Nota: Ir. Kamal Haziq telah berjaya menjadi seorang Jurutera Profesional dalam disiplin Kejuruteraan Mekanikal pada usia sebelum 29 tahun, dan setelah bekerja selama kurang daripada 5 tahun. Beliau telah mewakili Institusi Jurutera Malaysia (The Institution of Engineers – IEM) dalam memberikan beberapa siri perkongsian berkenaan “Route to Professional Engineer” di beberapa universiti swasta di sekitar kawasan Greater Kuala Lumpur. Beliau telah terlibat dalam beberapa projek mega di Kuala Lumpur, dan ini termasuklah projek MRT 1 Jajaran Sungai Buloh – Kajang, projek MRT 2 Jajaran Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya dan projek Tun Razak Exchange (TRX). Beliau kini berkhidmat sebagai seorang Pengurus Reka Bentuk MEP (MEP Design Manager) di bawah sebuah kumpulan syarikat multinasional yang beribu pejabat di Sydney, Australia, di mana beliau bekerja di cawangan syarikat tersebut di Kuala Lumpur.

 

Sekiranya anda mempunyai pertanyaan, sila berhubung dengan beliau melalui:

 

 

Tulisan ini adalah perkongsian peribadi saudara Ir. Kamal Haziq, dan tidak melambangkan tulisan rasmi daripada pihak Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia – BEM) mahupun Institusi Jurutera Malaysia (The Institution of Engineers, Malaysia – IEM)

 

 

Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.