Foodpanda: Dulu Jingga Sekarang Merah Jambu

1,074

Perkhidmatan penghantaran makanan atas talian semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Permintaan yang tinggi serta akses perkhidmatan yang semakin meluas secara tidak langsung berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baru seperti pekerjaan penghantar makanan.

Di Malaysia sahaja terdapat pelbagai syarikat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan atas talian seperti Foodpanda, Grabfood, Dah Makan, Mammam dan sebagainya.

Pengasas Foodpanda

Foodpanda dilancarkan pada Mei 2012 di Singapura oleh Ralf Wenzel dan Benjamin Bauer. Pada tahun yang sama juga Foodpanda telah berjaya berkembang dan membina perniagaan ke 16 buah negara di seluruh dunia. Menjelang akhir Februari 2013, ia berjaya mengembangkan lagi perniagaannya ke 23 negara di seluruh dunia. Kini ia beroperasi di lima buah benua dan aktif di lebih daripada 500 bandar di seluruh dunia.

Ralf Wenzel

Ralf Wenzel adalah CEO global dan salah satu pengasas bersama Foodpanda atau Hellofood. Beliau memegang ijazah dalam sains komputer dari Universiti Berlin. Sebelum menjadi CEO Foodpanda , beliau bekerja di Skrill Holding sebagai Group Chief Operating Officer. Sebelum itu memegang jawatan sebagai Senior Vice-President Sales and business Development di Jamba / Jamster.

Benjamin Bauer

Benjamin Bauer adalah Chief Marketing Officer dan pengasas bersama Foodpanda. Beliau memiliki ijazah Sarjana Sains dari WHU dan Ijazah Sarjana Muda Sains daripada Maastricht University dalam Pentadbiran Perniagaan. Sebelum itu, beliau bekerja untuk firma modal Ventura di San Francisco dan Munich.

Pesaing Foodpanda

Foodpanda tidak bersendirian dalam pasaran perkhidmatan penghantaran makanan atas talian. Di peringkat awal kewujudan Foodpanda pesaing yang paling mengancam adalah Zomato. Zomato adalah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran makanan atas talian yang berasal dari India, yang membawa model perniagaan yang agak serupa dengan Foodpanda. Zomato ditubuhkan pada tahun 2008, kira-kira 4 tahun lebih awal daripada Foodpanda.

Penjenamaan Semula

Pada 1 November 2017, Foodpanda melakukan penjenamaan semula daripada warna jingga ke merah jambu dengan logo yang diperbaharui di serata dunia.

Penjenamaan ini berlaku selepas Foodpanda dimiliki oleh syarikat teknologi besar Delivery Hero pada Disember 2016 yang menukarkan warna jenama mereka daripada jingga kepada merah jambu. Walaupun logo panda mereka dikekalkan, ia diubahsuai dengan penampilan yang lebih bulat dan lebih “moden”.

Menurut mereka, logo baharu ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengingati jenama Foodpanda. Tambahan pula, gaya fon Foodpanda juga ditukarkan kepada fon yang lebih trending dan kontemporari, sehaluan dengan aspirasi baharu syarikat mereka.

 

 

Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.