6 Cara Mengembara Membantu Perjalanan Kerjaya

163

Mengembara dan melancong ke luar negara merupakan impian ramai orang terutama sekali generasi Y atau millenials yang sangat menghargai pengalaman baharu dalam kehidupan. Dalam artikel kali ini, anda akan mengetahui 6 cara bagaimana mengembara dapat membantu dalam pembinaan kerjaya anda.

  1. Peluang dan masa untuk bermuhasabah

Setelah sekian lama bekerja secara rutin bagi mencari nafkah dan rezeki, tibalah masanya untuk kita berehat sebentar daripada kesibukan kerjaya bagi memberi ruang kepada diri untuk bermuhasabah dan merancang masa depan kehidupan.

Ketika mengembara, minda dan jiwa kita menjadi lapang dan tenang. Oleh itu, peluang yang ada perlu dimanfaatkan bagi merancang perjalanan hidup dengan fikiran yang rasional. Sekiranya sesebuah organisasi besar juga akan menjalankan retreat tahunan, mengapa tidak perkara yang sama dilakukan dalam kapasiti individu?

  1. Menjadi lebih terbuka

Apabila mengembara, kita dapat mengenal budaya baharu, mempelajari bahasa asing, makan makanan yang tidak pernah kita jumpa sebelum ini, serta mengetahui the do’s and don’ts sesuatu masyarakat dan tempat. Melalui proses cuba memahami budaya baharu itulah kita akan lebih bersikap terbuka, menjadi lebih mesra dan mudah untuk membuat kawan.

Dalam dunia kerjaya, sifat keterbukaan dan berlapang dada ini amat diperlukan terutama sekali dalam proses pembentukan sesebuah pekerja dan organisasi yang matang.

  1. Berfikir secara kritis dan kreatif

Ada kalanya pengalaman-pengalaman yang tidak terduga akan berlaku pada ketika kita melancong ke tempat orang. Passport hilang, terlepas kapal terbang, tersesat dalam keadaan telefon bimbit tiada bateri; semua ini merupakan pengalaman berharga yang akan menjadikan diri kita seorang yang berfikiran kritis dan kreatif dalam usaha menyelesaikan masalah yang berlaku.

Dengan mengembara ke tempat asing, kita sebenarnya sedang mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa dan memposisikan diri dalam keadaan sentiasa cakna dan bersiap sedia. Kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis inilah yang diperlukan dalam sesebuah organisasi kerana pada hakikatnya kita diterima bekerja untuk menyelesaikan masalah, dan bukan menambah masalah kepada sesebuah organisasi.

  1. Meluaskan jaringan

Sepanjang pengembaraan, kita akan berjumpa dengan ramai kenalan baharu tidak kiralah sama ada dari kalangan masyarakat setempat mahupun kenalan-kenalan yang melancong sama seperti kita. Setiap daripada individu tersebut merupakan khazanah yang membawa bersama mereka pengalaman, sejarah, kebudayaan serta ilmu-ilmu baharu yang dapat dikongsi bersama melalui perbualan dan pergaulan.

Rakan penulis pernah berkenalan dengan seorang pemuda dari Jepun ketika melakukan aktiviti khidmat masyarat dan mereka menjadi teman rapat semenjak dari hari itu. Beberapa tahun kemudian, kenalan dari Jepun tersebut mengajak rakan penulis bekerja di sebuah syarikat di negara matahari terbit yang sedang mencari pekerja dari luar negara.

Sungguh, rezeki Allah SWT itu amat luas. Selain daripada dapat membuat kenalan baharu, kita juga boleh meneroka peluang bisnes yang boleh dilakukan dalam negara menerusi pemerhatian dan penghayatan kita ketika mengembara.

  1. Kemahiran mengurus kewangan, masa dan diri

Apabila mengembara, kita akan lebih cekap dalam mengurus perbelanjaan dan jadual perjalanan. Kewangan kita akan dicatu secara berdisiplin supaya wang yang ada cukup untuk belanja makan, membeli-belah dan yang paling penting dapat membeli tiket untuk pulang semula ke rumah. Apatah lagi apabila kita berbelanja dalam mata wang yang asing, pastinya kita akan lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Dalam aspek pengurusan masa pula, kita sedar bahawa masa yang kita ada untuk mengembara adalah terhad, oleh itu, kita akan merancang perjalanan dan masa dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan sebanyak mana pengalaman baharu yang ada di tempat yang diziarahi. Bukan itu sahaja, kita juga akan memberi perhatian kepada pengurusan diri, kesihatan dan faktor pemakanan kerana sebaiknya kita tidak mahu jatuh sakit atau ditimpa kemalangan di negeri orang.

Tiga kemahiran pengurusan ini dapat membantu menjadikan diri kita seorang pekerja yang kompeten dan berjaya.

  1. Menjadi individu yang berprinsip

Tidak kiralah ke mana jua kita melangkah, seramai mana kenalan baharu kita jumpa sepanjang mengembara, sudah pasti akan ada waktu di mana prinsip dan pegangan kita diuji. Sebagai contoh, sekiranya seseorang muslim itu mengembara ke negara majoriti bukan islam, mereka akan diuji dalam aspek mencari makanan halal serta memelihara solat, apatah lagi apabila mengembara secara bersendirian.

Pada waktu yang lain pula, rakan-rakan berlainan agama akan bertanya mengapa agama islam melarang umatnya daripada memakan makanan haram, diwajibkan untuk menutup aurat, berpuasa, menunaikan solat dan sebagainya. Melalui penjelasan yang kita berikan kepada mereka, secara tidak langsung akan membantu kita memahami dan menghayati pegangan dan prinsip kita dengan lebih kukuh dan kuat.

Nilai berpegang kepada prinsip inilah yang diperlukan dalam setiap individu yang bekerjaya, tidak kiralah sama ada pekerja bawahan mahupun majikan.

Sekian sahaja 6 cara bagaimana mengembara dapat membantu anda menjadi individu yang lebih cemerlang dalam dunia kerjaya. Mengembara dan melancong tidak semestinya perlu menelan kos yang mahal, boleh sahaja bermula dengan melancong dalam negara, melancong secara backpacking mahupun melalui pakej-pakej pelancongan yang berpatutan.

Kaedah lain untuk mengembara ialah dengan cara menyertai aktiviti khidmat masyarakat di luar negara, mengambil kursus latihan ditaja ke luar negara, sambung belajar dan sebagainya.

Mengembara dan terokailah dunia agar kita menjadi insan yang lebih matang dan berpengalaman dalam kehidupan.

 

Amirul Eqhwan Rahim

Pelajar Bahasa Mandarin di Taiwan.

Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.