5 Jampi Untuk Graduan Dapatkan Pekerjaan Pertama

0 134

Antara cabaran terbesar bagi seorang graduan atau siswazah yang baru sahaja menamatkan pengajian ijazah sarjana muda ialah mendapatkan pekerjaan pertama mereka.

Berikut saya kongsikan 5 cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan pekerjaan pertama anda;

#1. Hantar resume atau curricular vitae (CV) pada syarikat yang menawarkan kerja kosong

Kebanyakan graduan atau siswazah menggunakan kaedah ini bagi mendapatkan pekerjaan.

Pastikan anda memiliki resume yang padu bersesuaian dengan kehendak syarikat yang menawarkan kerja kosong tersebut, mempunyai kemahiran mencari iklan kerja kosong serta kesediaan untuk dipanggil ke sesi temududa.

Menulis resume memerlukan pembacaan dan kajian yang mendalam serta nasihat dan bimbingan daripada mereka yang telah lama berkecimpung dalam dunia pekerjaan.

Disebabkan kurangnya pengalaman dalam menulis resume, kebanyakan graduan terlalu taksub dalam menghias resume dengan kesan-kesan grafik sehingga mengambil lewa terhadap kandungan resume itu sendiri.

Elakkan penggunaan resume berwarna-warni, elakkan ‘rate’ kemahiran diri anda dengan bintang-bintang begemerlapan, jangan campuradukkan pengalaman ‘internship’ dengan pengalaman bekerja separuh masa dan banyak lagi ‘the do’s and don’t’s’ dalam menulis resume.

Bagi mencari iklan kerja kosong, para graduan boleh memanfaa

tkan ‘page’ Facebook, JobStreet, ‘channel’ Telegram dan lain-lain platform yang mengiklankan kerja kosong pada setiap masa.

Oh ya, tolong jangan sesekali terlajak bijak dengan bertanya di platform-platform tersebut soalan seperti berikut;

“Siapa ada kerja kosong? Tolong PM saya.”, banyak cantik muka kau.

#2. Manfaatkan jaringan kenalan anda

Mempunyai jaringan kenalan (networking) yang luas merupakan satu bonus kepada para graduan dan bonus ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Pentingnya mempunyai kenalan yang bekerja di syarikat atau bidang yang mahu kita ceburi adalah supaya mereka dapat menceritakan kepada kita situasi sebenar yang berlaku dalam syarikat tersebut seperti sama ada keadaan ekonominya baik atau tidak, memerlukan pekerja baru atau sebaliknya, sesuaikah budaya syarikat tersebut dengan diri kita dan sebagainya.

Jaringan kenalan ini boleh jadi rakan-rakan kita yang telah terlebih dahulu mendapatkan pekerjaan, rakan-rakan senior, para pensyarah, kenalan kepada ibu bapa atau saudara mara kita dan sebagainya.

Seorang rakan senior yang sangat saya kagumi pernah berkongsi pengalaman beliau mendapatkan pekerjaan, katanya beliau telah menghantar resume melalui 10 orang kenalan berbeza di syarikat yang sama serta memohon bantuan kenalan-kenalan tersebut supaya menyerahkan resume beliau secara terus kepada ‘HR Manager’ di syarikat berkenaan.

Bagi menampakkan kesungguhan, beliau juga kerap kali menghubungi ‘HR Manager’ tersebut untuk ‘follow up’ sama ada beliau telah menerima dan meneliti resume yang diberikan.

Berkat kesungguhan rakan senior tersebut, beliau dipanggil untuk sesi temuduga dan akhirnya diterima untuk bekerja di syarikat idamannya itu.

Satu kenyataan pahit yang perlu kita telan ialah tanpa kesungguhan dalam mencari pekerjaan, boleh jadi riwayat resume kita akan berakhir di mesin ‘shredder’ milik ‘HR Manager’.

#3. Menghadiri temuduga secara ‘walk-in’

Berbeza dengan cara pertama, ‘walk-in interview’ membuka peluang yang lebih mudah untuk para graduan ke sesi temuduga tanpa perlu melalui saringan pertama iaitu peringkat penapisan calon melalui resume.

Manfaatkan sesi ‘walk-in interview’ bagi menyerlahkan minat, potensi dan kesungguhan anda kepada pihak penemuduga.

Pada masa yang sama, pastikan anda mempunyai resume yang bersesuaian dengan citarasa syarikat berkenaan kerana selepas tamat sesi ‘walk-in interview’, boleh jadi perbincangan akan berlaku dalam kalangan pihak penemuduga dan resume anda akan menjadi wakil kepada diri anda sewaktu perbincangan tersebut berlangsung.

Rajin-rajinkan diri menghadiri karnival kerjaya kerana kebanyakan sesi ‘walk-in interview’ akan berlangsung di sana dan sentiasa peka terhadap iklan ‘walk-in interview’ melalui portal-portal yang mengiklankan kerja kosong.

#4. Sertai ‘Graduate Employability Program’

‘Graduate Employability Programme’ adalah inisiatif pihak kerajaan bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan ke alam kerjaya.

Terdapat dua bahagian perlaksanaan ‘Graduate Employability Programme’ iaitu kursus kemahiran insaniah (soft skills) dan ‘On Job Training’.

Menyertai ‘Graduate Employability Programme’ merupakan satu alternatif yang baik bagi para graduan untuk meningkatkan kemahiran insaniah, meluaskan jaringan kenalan dan mendapatkan pengalaman bekerja sementara menunggu tawaran pekerjaan tetap.

Sekiranya di syarikat anda melaksanakan On-Job-Training mempunyai kekosongan jawatan yang bersesuaian, maka peluang untuk anda diambil sebagai pekerja di syarikat tersebut adalah cerah.

#5. Tawarkan perkhidmatan dan nilai diri anda

Seorang jurutera yang berpengalaman pernah berkata kepada saya;

“Don’t wait for job vacancy. Go knock on the company’s door and offer your value and service. If you are good, there is no reason people want to reject you.”

Sambungnya lagi, “In fact, they might create a job vacancy just to hire someone valuable and full of potential like you.”, kata-kata beliau membuatkan saya berfikir dengan amat mendalam.

Pada era industri 4.0 dan ‘internet of things’, para graduan mempunyai pelbagai kemahiran yang diperlukan oleh syarikat dan industri seperti kemahiran menggunakan Adobe Photoshop, Adobe Illustrator, ‘Coding’, ‘Content-Writing’ dan lain-lain.

Maka, para graduan perlu bijak menonjolkan diri dan menawarkan kemahiran yang ada sebagai sebuah servis kepada syarikat yang berkaitan.

Demikian sahaja perkongsian berkenaan 5 cara bagi para graduan atau siswazah mendapatkan pekerjaan pertama mereka.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada rakan-rakan graduan dalam melangkah ke alam kerjaya, insya-Allah.

Disediakan Oleh: Amirul Eqhwan

Leave A Reply

Your email address will not be published.